Thursday, April 10, 2008

Hati dan Minda yang berkata-kata

Sukar mencari apa yang diinginkan...hati dan minda tidak pernah sepakat. Seringkali hati menolak ajakan minda untuk melupakan. Terlalu menurut kehendak kata kecil hati yang penuh dengan rasa dan emosi. Walhal, minda yang rasional dan positif tidak pernah jemu memberi nasihat dan pujukan. Ahhh...penatnya akal untuk membuat keputusan. Tiada satu pun yang mampu melegakan kedua-duanya. Hati yang menangis dan minda yang memahami, kedua-duanya perlu dijaga.

Hati, oh hati...mengapa sering berdiri di dalam hujan? Tidakkah basah itu membuatmu kesejukan?

Tidak mengapalah sahabatku, Minda...aku sudah biasa.

Jangan begitu temanku. Kau sangat mulia dan kau mampu menjaga dirimu sendiri. Tak perlu terlalu mengharap.

Minda, kau mungkin dapat memahami apa yang kulalui. Namun kau tidak menaggungnya sepertiku. Aku masih boleh bertahan.

Wahai Hati, aku amat kagum dengan ketabahanmu. Tapi sampai bila kau harus begini? Tiada siapa yang mengenalimu sebaik aku.

Aku terlalu inginkannya. Hujan ini memang lumrah. Dan ia juga rahmat bagiku. Mungkin kesejukan itu mampu menyedarkannya akan kehadiranku.

Adakah dia begitu berbaloi untukmu, sahabatku?

Minda, jika benar kau inginkan aku untuk melupakannya, bolehkah kau lakukan sesuatu untukku?

Sudah tentu Hati. Aku akan menolongmu sebaik mungkin. Nyatakan saja.

Baiklah...bolehkah kau menidakkan namanya setiap kali ia melintasi ruang pemikiranmu? Dan bolehkah kau tidak memikirkan segala kebaikannya setiap kali ingin tidur?

Hmmm...Hati, kau tahu aku tidak boleh mengawal itu dengan mudah. Aku boleh mencuba...

Aku inginkan kepastian, sahabatku.

Begini, jika kau mampu membuka pintumu untuk yang lain, aku pasti dapat melakukannya dengan mudah. Bagaimana?

Minda...minda...mungkin kau belum betul-betul mengenaliku. Aku setia dan itu lumrahku. Aku tidak mahu melakukannya kerana benci. Mungkin bukan sekarang waktunya untukku bahagia. Mungkin esok atau lusa.

Bagaimana kalau tiada esok dan lusa? Adakah itu berbaloi?

Tiada yang lebih berbaloi daripada menjadi diriku sendiri.

Baiklah Hati. Aku menghormati keputusanmu. Namun, aku akan tetap berada disini jika kau memerlukanku. Aku akan tetap membantumu dan memberi tunjuk ajar. Cuma aku harap, kau tidak melupakanku.

Aku tidak akan melalaikan apa yang kau khabarkan. Aku juga akan sentiasa berada disisi jika kau memerlukanku. Terima kasih sahabatku.

Hanya akal yang masih menuggu untuk memutuskan apa yang perlu. Jauh disudut hati, dan jauh kedalam minda, tiada satu pun yang pernah mengalah. Masing-masing cuba memujuk sesama sendiri walaupun semakin menjauhi, namun akal tetap akan merapatkannya...mungkin belum masanya...

No comments:

MONEY MAKING OPPORTUNITIES FROM TOP INTERNET MARKETERS

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails